Keluarga Mawaddah Wa Rahmah

Laman Web Peribadi Fauzul & Nurul


Pertandingan Mewarna

Ibu tak tahu nak tulis apa sebenarnya. Sebenarnya ibu stress dengan kerja-kerja pejabat sekarang ni. Huru hara. Tetapi ibu tidak suka web ini penuh keluh kesah. Ibu tidak suka berkeluh kesah di sini. Berkeluh kesah itu kan tidak bagus. Kalau ibu hendak berkeluh kesah pun tidak perlu di sini, berkeluh kesahlah dengan orang yang betul, supaya perkara yang sedang bersimpul itu dapat dirungkai perlahan-lahan dan akhirnya kembali pulih. Gambar di atas sengaja diletakkan di sini. Saja suka tengok muka anak-anak sendiri, tidak puas kot tengok wajah anak-anak ibu hari-hari.

Hujung minggu lepas bawa Nuaim sertai pertandingan mewarna. Isyaf tinggal dengan maktok. Kesian Isyraf cirit-birit. Lama pula tu hingga sakit bontot. pasal pertandingan mewarna, asalnya ibu sendiri tidak yakin hendak bawa Nuaim sertai pertandingan itu. Sebab ibu tahu apa yang anak ibu suka, apa yang dia tidak suka. Tetapi dek kerana cikgu Ana cadangkan ibu bawa, katanya kadang-kadang Nuaim warna cantik juga, ibu pun terus bersetuju memberikan nama Nuaim sebagai peserta pertandingan mewarna.

Apa yang bisanya berlaku di rumah, apabila ibu minta Nuaim mewarna, dia tidak pernah menunjukkan reaksi yang bersungguh-sungguh hendak mewarna. Warna sedikit, terus tinggalkan. Dia lebih suka membaca, buat aktiviti matematik dalam buku atau internet, baca al-barqy dan lain-lain selain daripada mewarna dan melukis.

Tetapi niat ibu menyertai pertandingan mewarna pun kerana hendak mendedahkan Nuaim dengan pertandingan. paling tidak dia tahu pertandingan itu melibatkan tempoh yang ditetapkan, mula apabila disuruh dan berhenti apabila diminta, ada hadiah dan sebagainya.

Apa yang berlaku pada hari pertandingan itu? Mula mewarna jam 8.30 pagi, jam 9.30 semua peserta perlu hantar hasil kerja. Nu’aim sudah bersedia dengan gambar istana yang perlu diwarnakan dan sekotak pensel warna. Lihat kiri kanan, depan belakang ramai sungguh peserta. Pertandingan mewarna bermula kemudian ibu letakkan jam telefon bimbit di sebelah Nu’aim supaya dia tahu masa sedang bergerak. Mula-mula memang semangat. Baru 15 minit berlalu, Nu’aim menguap buat kali pertama. Petanda dia sudah mula bosan. Baru 1/4 bahagian gambar siap diwarnakan. Ibu sudah bersedia kalau-kalau dia tidak mahu menyudahkan tugasan mewarna itu. Pada mula tadi dia rancak mewarna, kini selepas 20 minit berlalu, dia mula menampakkan reaksi malas hendak mewarna. Tidak silap apa yang ibu jangkakan, “Ibu lama sangatlah masa nak habis. Biarlah tak dapat hadiah pun,” Nuaim bersuara dengan matanya diredupkan dan wajahnya menunjukkan dia bosan. Ibu terus memberikan kata-kata semangat supaya dia terus mewarna dan sekurang-kurangnya dia menghabiskan tugasan itu, walaupun tidak secantik mana. Dalam hal seni lukis ni, ibu tahu ibu pun tidak ada darah seni, ayah juga sama. Tidak pelik kalau Nuaim pun begitu. Ayah ibu borek, anak rintik. Hehehe.

Akhirnya siap juga mewarna, terus hantar. Kemudian Nuaim tertinjau-tinjau mencari kawannya, Akmal. Apa lagi bila jumpa Akmal, terus main kejar-kejar. Itu lebih seronok daripada mewarna. Keputusan diumumkan, semua peserta yang mendapat tempat kelapan dan ke atas mendapat hadiah saguhati, termasuklah Nuaim. Tahniah! anakku kerana berjaya habiskan tugasan mewarna.

Pasal Isyraf, sekarang apa yang abang buat semua dia tiru. Tingkah laku yang tidak berapa disukai pun dia akan tiru. Tingkah laku jenis ini selalunya Nuaim bawa balik dari Tadika. Biasalah budak-budak. Apabila dah mula bergaul, macam-macam benda dia dapat. Bawa balik rumah, adik pula meniru. Antara benda yang Isyraf paling suka, kereta mainan. Kalau hendak bagi dia main sorang-sorang, berikan dia kereta. Dia suka sangat. Sangat bertentangan dengan abangnya. Kedua-duanya suka melawak, lepas tu bergaduh pula. Bab inilah yang ibu tak suka. Abang mengadu adik buat itu ini. Adik pula menangis sebab kena cubit dengan abang. Silap hari bulan tangan ibu pula sampai pada siapa-siapa yang banyak buat hal. Huhu fenin. Walau bagaimanapun, dengan adanya permata hati ini, rumah kami selalu ceria dan gegak gempita. Kalau tidak tentu sunyi bengang.

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Ingatan buat diriku

Berada di atas katil di hospital sambil tangan sedang dicucuk-cucuk jarum oleh jururawat bagi mencari venaku yang halus cukup merimaskan dan menyesakkan dada. Kehadiran pakar yang baik, mesra dan lemah lembut bersoal-jawab dan memeriksa aku mengurangkan takanan yang di hadapi. Perut aku yang semakin sakit dan badan aku yang terasa semakin lemah dapat ditahan dengan kekuatan yang diberi oleh Allah. Sebaik disahkan mengandung luar rahim mulut dan hati aku tak henti-henti berzikir, ingat padaNya. Semuanya berlaku dengan kehendakNya. Yassir wala tu’asir rabbi tammim bilkhair. Itulah yang aku sebut-sebutkan supaya segala proses rawatan berlaku dengan mudah dan berakhir dengan baik. Ubat gastrik dan kemudiannya ubat usus yang aku ambil rupanya bukan rawatan dan penawar yang betul bagi penyakit sebenarnya. Selepas didiagnos sakit usus, mungkin apendiks pula dan aku nyaris-nyaris sudah hendak dibedah disebabkan kes aendiks. Ini berlaku gara-gara aku sendiri tidak menyedari diri aku mengandung. Teruk sekali! Kalau sudah ‘berdarah’ tiap-tiap bulan bagaimana aku hendak menyangka aku mengandung. Rupa-rupanya darah kali ini bukan darah biasa yang aku alami.

Jadi sebagai ingatan aku dan wanita serta ibu-ibu di luar sana selalulah lakukan pemeriksaan bagi mengesah kehamilan, walaupun anda ‘berdarah’ tiap-tiap bulan. Terutama mereka yang berhenti mengambil sebarang jenis kaedah kontraseptif. Apa? Apa itu kaedah kontraseptif? Nama glamournya kaedah merancang.  Kemudian selepas kita pasti kita hamil, pastikan diri kita sihat. Kalau ada mabuk, muntah-muntah, pening-pening itu perkara biasa. Tetapi andainya badan kita mula bersuara dengan menzahirkan rasa-rasa sakit yang amat sangat pada bahagian kiri, kanan ataupun keseluruhan perut segeralah berjumpa doktor bagi memastikan kedudukan kandungan anda berada di mana. Tambahan pula kalau ada darah keluar tidak berhenti-henti tidak kira banyak ataupun sedikit. Selepas menjalani ujian ultrasound atau nama glamournya scan, biasanya kita dapat tahu di mana kedudukan kandungan itu berada. Kalau tiada dalam uterus, doktor tahu apa dia hendak buat. Dalam kes saya didiagnos sebagai right ruptured tubal pregnancy rasa sakitnya bukan sahaja pada bahagian perut tetapi hingga ke bahagian bahu.

Tujuan saya menceritakan hal ini bukanlah niat hendak ‘menjual’ pengalaman yang tidak seberapa ini, tetapi sebenarnya hendak berkongsi ilmu yang sedikit yang baru saya pelajari ini. Ilmu yang diperoleh melalui pengalaman memang menyakitkan, tetapi pangajarannya cukup bererti.

Sebenarnya sepanjang saya menahan sakit selama 2 minggu itu saya turut menggoogle informasi daripada internet. Apa tidaknya kosentrasi kerja pun sudah terganggu gara-gara sakit perut yang tidak terkata. Mana tahu kalau-kalau terjumpa sebarang informasi berkaitan sakit perut yang tidak reda-reda ini. Tetapi langsung tidak terbaca perihal kehamilan luar rahim atau etopic pregnancy. Jadi andainya ada wanita-wanita sejenis saya yang sakit perut tidak reda-reda selepas mengambil ubat, kemudian mencari maklumat melalui internet nanti, mungkin maklumat ini dapat membantunya. Jangan dibiarkannya kerana ia akan mengancam nyawa kita. Kemungkinan setiap wanita mengalaminya adalah 1%. Kemungkinan mereka yang pernah mengalaminya dan akan mengalaimya lagi sebanyak 10-15%.   Sedarlah. Walau bagaimanapun aku tetap mahu mengandung lagi andai diizinNya. Cuba lagi! Jangan Serik! Cuma tangguh dahulu. Terima kasih Tuhan kerana mengembalikan nikmat sihat kepada diri hambamu ini.

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Isteri Saya Nurulhilyati Menjalani Pembedahan Laproskopi Untuk Kes Kehamilan Luar Rahim Semalam

Sekarang jam 3.28 pagi. Saya baru sampai ke rumah di Bentong. Pulang daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Isteri saya Nurulhilyati Abdul Halim mengalami kehamilan luar rahim yang menyebabkan luka di bahagian dalam perut dan mengeluarkan darah. Selepas beberapa kali berubah hospital daripada Klinik di Selayang (mengatakan isteri saya mengalami apendiks, dan menyarankan untuk ke doktor pakar kerana isteri saya mempunyai polisi insurans bagi tujuan pembedahan tersebut), ke Hospital PUSRAWI (tidak menerima polisi insurans Prudential SOS), ke Hospital Tawakal (Tidak menerima pesakit kerana wad sudah penuh), ke Ampang Puteri Specialist Centre (Dimaklumkan isteri saya mengalami kehamilan luar rahim, dinyatakan bahawa polisi insurans tidak membiayai kes yang melibatkan kehamilan. Caj di sana dianggarkan RM 8,000 ke RM 9,000. Caj konsultansi sahaja sudah RM431.00) terus diminta bertukar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana di sana mempunyai pakar dalam bidang O&G yang boleh membuat pembedahan cara laproskopi dengan kadar lebih rendah. Akhirnya isteri saya masuk ke wad pembedahan jam 11.30 malam dan keluar jam 2 pagi tadi.

Saya bersama keluarga dan anak-anak pulang selepas isteri keluar daripada wad. Isteri saya sekarang berada di Wad Berlian, Tingkat 2, HUKM. Sesiapa yang ingin melawat, HUKM menerima pelawat pada jam 12.30 petang dan 5.30 petang. Ini sekadar makluman dan Alhamdulillah isteri saya sudah stabil. Mata masih tidak mengantuk walaupun sebenarnya keletihan.

Hasil Nukilan :

Fauzul Naim Ishak
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
fauzul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Tiada masa untuk anak? Sibuk?

Saya terima satu e-mel. Menarik juga ceritanya. Penuh pengajaran dan sesuai untuk kita sebagai ibu dan ayah yang sentiasa sibuk. Berhenti sejenak dan renungkanlah. Bahasa asal adalah bahasa Indonesia. Saya sudah terjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya mudah hendak dibaca. Semoga kita mendapat pengajaran.

Gaji Papa Berapa?

Seperti biasa Andrew, Ketua Cawangan di sebuah syarikat swasta terkemuka di Jakarta, tiba di rumahnya pada pukul 9 malam. Tidak seperti biasa, Sarah puteri sulongnya yang baru darjah tiga membukakan pintu untuknya. Nampaknya ia sudah menunggu cukup lama.

“Mengapa kamu tidak tidur lagi?” sapa Andrew sambil mencium anaknya.
Biasanya Sarah memang sudah tidur ketika dia pulang dan baru terjaga ketika dia akan berangkat ke pejabat pagi hari. Sambil mengikuti Papanya menuju ruang tamu Sarah menjawab, “Saya menunggu Papa pulang. Sebab saya mau tanya berapa gaji Papa ?”

“Ait! kenapa kamu hendak tahu gaji papa berapa? Hendak minta duit lagi ya?”

“Tidak. Hendak tahu saja” ucap Sarah singkat.

“Ok. Kamu boleh kira sendiri. Setiap hari Papa bekerja sekitar 10 jam dan dibayar RM400. Setiap bulan lebih kurang 22 hari bekerja. Sabtu dan Ahad cuti. Jadi, gaji Papa dalam satu bulan berapa?”

Sarah berlari mengambil kertas dan pensilnya dari meja belajar sementara Papanya membuka kasut dan menyalakan television. Ketika Andrew beranjak menuju ke bilik bagi menyalin pakaian, Sarah berlari mengikutinya. “Kalau satu hari Papa dibayar RM400 untuk 10 jam, bermakna satu jam Papa dibayar gaji RM40 kan” katanya.

“Wah, bijaknya kamu. Sudah, sekarang cuci kaki, tidur” perintah Andrew

Tetapi Sarah tidak beranjak. Sambil menyaksikan Papanya berganti pakaian, Sarah kembali bertanya, “Papa, bolehkah saya pinjam wang 5 ringgit?”

“Sudahlah! Buat apa minta duit malam-malam begini? Papa penat dan hendak mandi dulu. Tidurlah”.

“Tapi Papa…”

Kesabaran Andrew pun habis. “Papa cakap tidur!” herdiknya mengejutkan Sarah. Anak kecil itu pun pergi menuju kamarnya.

Selepas mandi, Andrew nampak menyesali perbuatan mengherdik anaknya itu. Dia pun menengok Sarah di bilik tidurnya. Anak kesayangannya itu belum tidur. Sarah didapati sedang teresak-esak perlahan sambil memegang duit 5 ringgt di tangannya.

Sambil berbaring dan mengelus kepala anak kecil itu, Andrew berkata, “Maafkan Papa, nak. Papa sayang Sarah. Tapi buat apa minta duit malam-malam begini ? Kalau hendak beli mainan, besokkan boleh. Jangankan 5 ringgit, lebih daripada itu pun Papa beri,” jawab Andrew

“Papa, saya bukan minta duit. Saya hanya pinjam. Nanti saya kembalikan kalau sudah menabung lagi daripada duit jajan selama minggu ini”.
“Ya, ya, tapi hendak buat apa?” tanya Andrew lembut.

“Saya menunggu Papa dari pukul 8. Saya mahu ajak Papa main ular tangga. Tiga puluh minit saja. Mama selalu cakap, waktu Papa itu sangat berharga. Jadi, saya mahu ganti waktu Papa. Saya buka tabung, hanya ada 15 ringgit. Tapi karena Papa cakap satu jam Papa dibayar 40 ringgit maka setengah jam saya perlu ganti 20 ringgit. Tapi duit tabung tidak cukup 5 ringgit, jadi saya hendak pinjam daripada Papa” kata Sarah.

Andrew pun terdiam. Dia kehilangan kata-kata. Dipeluknya anak kecil itu erat-erat dengan perasaan haru. Dia baru menyadari, ternyata limpahan harta yang dia berikan selama ini, tidak cukup untuk “membeli”kebahagiaan anaknya.

Saudara bagaimana? Selalukah melayan anak? Ataupun anak saudara masih kecil, belum pandai berfikir seperti Sarah. Jadi tidak perlu risau. Benarkah begitu? Semasa anak kita tidur, renunglah wajahnnya. Fikirkanlah hal ini. Fikirkan juga, ada ataupun tidak janji-janji yang dibuat dengan anak kita yang belum ditunaikan. Peringatan untuk diri sendiri juga. Sudah lama berjanji hendak beli permainan Ben10, selepas 6 bulan baru dapat tunaikan janji. Bukan sengaja lambat tunaikan, tetapi sudah berusaha pergi ke semua ceruk kedai, kehabisan stok. Apa yang penting kita tunaikan juga janji itu walaupun lambat.

Semalam juga Nu’aim kelihatan seronok kerana dapat bermain UNO dengan ibu dan ayah. Yang seronoknya, ibu menang . . . hehehe.

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu kepada mama Rohani dan mama Madakhiah yang banyak membimbing Ati menjadi ibu dan suri rumahtangga yang baik.

Glitter Graphics

Mother’s Day Glitters

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Reunion Ghazalian MRSMPC 96/97

reunionmrsm.jpg

Lama sungguh tak jumpa kawan-kawan semua. Seronok lihat kawan-kawan dengan keluarga masing-masing. Pandang wajah sorang-sorang, terbayang wajah mereka semasa tingkatan 4 dan 5 dulu.
Kalau dulu wajahnya penuh jerawat, sekarang sudah licin, cantik dan bersih. Kalau dulu selekeh, sekarang sudah bergaya. Kalau dulu kurus sekarang semakin comel dan montel.

Reunion kali ini berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya. Masa hanya 2 jam. Masa yang pendek itu ditetapkan selepas mengambil kira masing-masing ada anak kecil. Sudah pasti semua si kecil tidak dapat bertahan lama mendengar dan menunggu mak ayah beborak. Nu’aim dan Isyraf pun dapat bertahan kerana ada tempat boleh berlari. Tambahan pula ada prince Kay yang comel tu, Danish menjadi teman baru mereka untuk sama-sama berlari.

Harap-harap lepas ni kalau ada lagi reunion dapatlah pergi. :up:

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Exam tadika . . .

Seperti biasa setiap petang ibu menjemput Nu’aim di tadika. Pintu kereta belum pun ditutup, Nu’aim sibuk memanggil ibunya kerana ingin memberitahu sesuatu.

“Ibu, ada surat cikgu bagi,” Nu’aim berkata sambil tangannya sibuk membuka zip beg sekolahnya. Kemudian dia menghulur surat putih yang berlipat kepada ibu.
Selepas meneliti surat itu baharu ibu maklum Nu’aim akan menduduki peperiksaan pertengahan tahun minggu depan.
“Ohoo Nu’aim ada exam nanti,” aku memaklumkannya. Aku menunjukkan jadual peperiksaan yang tertera di atas kertas itu.
“Exam tu apa ibu?” tanya Nu’aim.
“Exam tu peperiksaan. Nanti Nu’aim tak boleh tiru atau copy orang lain semasa buat aktiviti di dalam kelas,” jelas aku ringkas. Nampak dia mengangguk-anggukkan kepala. Fahamlah agaknya.

Inilah kali pertama Nu’aim menduduki peperiksaan dalam hidupnya. Mula 12/5 hingga 15/5. Antara subjek peperiksaannya bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, Matematik, Sains, pendidikan ISlam dan kreatif. Masa tadika dulu-dulu aku ada ujian macam ni ke? Aku pun tak ingat. Aku tadika KEMAS, dekat dengan rumah. Masa tu tahun 1985. Uniform tadika pun belum wujud lagi.

Bermula hari Isnin lepas setiap pagi Nu’aim akan meminta kertas jadual peperiksaan tu. Excited sungguh. Macam hendak mengambil peperiksaan di universiti, sibuk saja tengok jadual. Walhal priksa di tadika saja. Apabila malam menjelma rajin pula hendak buat aktiviti matematik. Ibu pula yang malas hehehe tak patut. Tambahan pula Isyraf asyik mengacau, lagilah malas…

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Nu’aim dan Ultraman

Perjalanan dari Bentong ke Wangsa Melawati memakan masa hampir 45 minit. Setiap hari kami bertiga, ibu, ayah dan Nuaim akan menyusuri lebuhraya Karak. Antara aktiviti biasa yang dilakukan oleh Nu’aim di atas kereta adalah main handphone ibu. Pelbagai jenis Surah dan asmaulhusna sudah ibu masukkan ke dalam handphone supaya senang Nu’aim nak dengar. Dia minat mendengar Surah Yasin dan asmaulhusna sebab hari-hari di tadika, itulah antara bahan yang menjadi halwa telinganya dan rakan-rakan. Oklah tu budak-budak hatinya mash suci bersih. Cuma kadang-kadang tu di dalam kereta, ayah dan ibu hendak dengar radio 24, Nu’aim pula nak dengar Yasin. Jadinya dia minta tutup radio kerana bunyi bising radio mengganggu dia hendak mendengar Yasin. Apa yang hendak dikata? Ikut sajalah. Takkan hendak marahkan dia, sedangkan dia mahu mendengar ayat suci alQuran.

Sepanjang perjalanan juga Nu’aim biasanya menceritakan apa yang dipelajarinya di tadika. Sejak kebelakangan ini dia minat bercakap mengenai asmaulhusna, 99 nama-nama Allah tu. Apabila anak ada mood hendak bercakap berkaitan hal ehwal agama, sudah tentu ibu juga teruja hendak memberi dorongan dengan melayan soalan-soalan yang dikemukakannya. Ibu juga sentiasa asyik menceritakan tentang kekuasaan Allah, kasih sayangnya dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan sifat dan nama-nama Allah. Bertambah seronok apabila dengar Nu’aim bercerita mengikut apa yang dia faham.

Suatu petang dalam perjalanan pulang ke Bentong,
“Ibu, Allah buat pokok, manusia buat kerusi. Allah buat bukit, manusia buat kereta,” Nu’aim bercerita sambil mengingati apa yang dipelajarinya di sekolah.
“Memang manusia buat kerusi dan kereta, tetapi asal-usul benda-benda tu semua Allah yang buat, Allah memang power,” ibu menambah.
“A’ah Allah power,” hati ibu lega mendengar pengakuan Nu’aim.
Sunyi sejenak, mungkin Nu’aim sedang berfikir.
“Tapikan ibu, ultraman lagi power sebab dia boleh bunuh rasaksa,” Nu’aim mula mencampur-adukkan cerita-cerita yang dilihatnya di tv dengan apa yang sudah dipelajarinya.
“Taklah. Ultraman ada power pun sebab Allah yang bagi power tu pada dia. Kalau Allah tak bagi power tu Ultraman pun tak ada power sekuat tu,” ibu cuba membetulkannya.
“Power Allah kuat sangat sebab dia cipta semua benda, power yang dia bagi pada ultraman tu sikit saja,” ibu menambah lagi, kelihatan Nu’aim diam, faham agaknya. “Jadi, siapa lagi power, Allah atau Ultraman?” ibu cuba menguji.
“Ultraman,” jawab Nu’aim ringkas.

wawawa tak berjaya. Ingat mudah ke nak ajar akidah pada anak-anak.

Hasil Nukilan :

Nurulhilyati Abdul Halim
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
nurul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

Alhamdulillah! Adik Iparku Selamat Bertunang

Kami sekeluarga pulang ke kampung daripada 1 Mei hingga 4 Mei 2008 bagi bersama keluarga menguruskan majlis pertunangan adik ipar merangkap adik isteriku Nurul Madihah. Alhamdulillah majlis berjalan dengan baik. Bersama ini disertakan koleksi gambar sepanjang majlis berlangsung.

Hasil Nukilan :

Fauzul Naim Ishak
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
fauzul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga

[Video] Fauzul Sebagai Panelis Keluarga Di 9, TV9

Pada 28 April 2008, pihak saluran TV9 Media Prima menjemput En. Fauzul Na’im Ishak, konsultan kanan di MQ Human Development sebagai ahli panel rancangan Keluarga Di 9, rancangan bual bicara yang dihoskan oleh Puan Farah Adeeba. Ini adalah sedutan episod daripada rancangan bual bicara tersebut.

Bagi versi penuh boleh terus ke saluran YouTube MQ TV di http://www.youtube.com/tvmq (Klik Di Sini) ataupun laman web rasmi beliau di http://www.fauzulnaim.com (Klik Di Sini)

Hasil Nukilan :

Fauzul Naim Ishak
Pemilik Bersama Raudhatunnaim.Com
fauzul@bookpro.my
Rumah Yang Baik Adalah Sebahagian daripada Taman-taman Syurga